USAHA-USAHA
UNTUK MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTIK DALAM KALANGAN MASYARAKAT DI NEGARA KITA
Semangat
patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini
seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana
masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak
menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam
hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari
wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak
menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari
kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia
ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap
agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya
terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya
adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat
patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat
patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur
buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk
sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan
dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat
melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan
perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang
boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan
penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan
di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid
akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut
dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu
akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan
seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat
patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas
mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian
tinggi.
Pihak yang
bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara
besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan
semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang
kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh
itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti
televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen
dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan
semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang
kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan
filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan
semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi
kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang
bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh
dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti
seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung
perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen
juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput
tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang
memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan
sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan
antara kaum di negara kita.
Semangat
patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada
pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa,
agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi
pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para
pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai
kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang
kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini
penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan
dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh
semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan
dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang
demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan
sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini
penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan
menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri.
Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa
berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan
pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah
mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati
diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan
masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam
kalangan masyarakat.
No comments:
Post a Comment