LANGKAH
MEMAJUKAN PELANCONGAN NEGARA
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan
negara yang penting. "Pendapatan indsutri pelancongan mencatatkan
peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 bilion pada tahun 2013 dalam
menjana ekonomi Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang memberangsangkan yang
dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah menggerakkan semua
agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan
pembanguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara
baru-baru ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysian
Airlines Systems (MAS) MH371 dari China dan MH17 yang ditembak lalu terhempas
di Ukraine sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara.
Kebanyakan pelancong berasa terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun
2014 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia. Oleh itu, semua pihak
haruslah megatur langkah yang lebih proaktif dan pragmatik untuk memastikan
industri pelancongan negara kita terus rancak dengan kunjungan para pelancong
sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk memastikan semua pihak
mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Persoalan yang bermain-main
di gawang minda kita ialah apakah langkah-langkah yang pragmatik yang dapat
dipraktikkan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita?
Uslub
yang perdana yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk
pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Produk
pelancongan negara perlu diperbanyak supaya para pengunjung dapat menikmati
sesuatu yang baharu dan unik di negara kita. Banyak produk pelancongan yang
wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan
masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain
itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan
seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan
musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya.
Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati
pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu
yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk
memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan
kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk
tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka.
Dengan ini, para pengunjung dapat menimba pelbagai ilmu yang baharu dan mereka
tidak akan pulang dengan tangan yang kosong tanpa ilmu di dada. Benarlah kata
orang tua-tua, “jauh perjalanan, luas pengalaman”. Jadi, usaha kerajaan
memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.
Selain
itu, pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh
pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk
memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini,
banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik
di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai
kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan
yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah
diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh
seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh, karnival wajar
diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia
dan menghebahkan kehebatan negara kita bak kata pepatah, tak kenal maka
tak cinta. Secara implisitnya, bilangan pelancong ke negara kita akan semakin
meningkat. Tegasnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan
langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi
pelancongan yang menarik.
Meninjau
skop yang lebih luas lagi, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan
pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa
wajar dilobi agar diadakan di negara ini untuk menjadi tarikan kepada para
pengunjung. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti
Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, pameran Maritim dan
Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba
Basikal Tour de Langkawi dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat
perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi
tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia
yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan
acara antarabangsa seperti ini memang terbukti kejayaannya, bak kata
pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara
lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan
dijadikan acara tahunan. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang
dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan
meluas. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan meningkat.
Mereka bukan sahaja datang untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang
dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita
berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara
ini, kita dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan
pelancong ke negara kita. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat
meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.
Seperkara
lagi, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan
negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan
lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia
ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih
besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan
pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya,
pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong.
Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun
Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul
tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang
kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat
mengetahui keindahan negara kita Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan
syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen
ini. Hal ini sekali gus akan mendorong para pelancong untuk melancong dan
berehat di sini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan
sektor pelancongan di negara kita..
Uslub
dan minhaj yang lain ialah menghapuskan atau mengurangkan cukai belian
barangan di negara ini. Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia
(TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati
keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Mereka
ingin menjadikan percutian di Malaysia sebagai serampang dua mata. Oleh
itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan
di negara ini. Namun begitu, kualiti barangan yang dijual haruslah terpelihara
supaya para pelancong berasa puas hati ketika membeli-belah di negara kita dan
janganlah indah khabar dari rupa. Selain itu, peraturan-peraturan
imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara
ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan
disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan
dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong
akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia. Izharlah bahawa penghapusan dan
pengurangan cukai belian barangan dapat merancakkan industri pelancongan negara
.
Jika
ditinjau dari sudut yang lain, langkah-langkah keselamatan juga perlu
diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada
di negara kita. Faktor kawalan keselamatan yang terjamin di sesuatu
destinasi pelancongan sering menjadi kayu pengukur untuk mereka datang ke
destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati mereka. Kita tidak
seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan
ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu
ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong.
Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan
tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing
terus berkunjung ke negara ini. Bilangan keanggotaan pasukan keselamatan perlu
ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan
pelancong. Sehubungan dengan itu, pelancong dapat melancong di negara kita
dengan lebih selesa dan sekali gus imej negara terpelihara di mata dunia.
Pendek kata, kawalan keselamatan yang baik mampu meningkatkan industri
pelancongan negara.
Akhir
kalam, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat
pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan
sektor pelancongan di negara kita. Memang diakui pelancongan merupakan
suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Oleh itu,
usaha memajukan industri pelancongan bukanlah terletak atas pundak pihak
berkuasa semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Semua
pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu
kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak
kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.
Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini
akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan
tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan daripadasemua pihak
yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan
yang terkenal di dunia. Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Mantan
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri pelancongan di dalam negara
boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti
Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia
dilakukan secara giat malah disokong oleh rakyat jelata. Biarlah pepohon
terus bergoyang, biarlah mentari terus bersinar dan biarlah industri
pelancongan negara kita terus meniti dari bibir ke bibir umat manusia di
seantero dunia demi menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk kemaslahatan bersama.
No comments:
Post a Comment