USAHA MENGEKALKAN PERMAINAN TRADISIONAL
Dalam
era globalisasi ini, permainan tradisional mula dilupakan. Hal ini terjadi
kerana pengaruh permainan moden seperti permainan video, permainan komputer,
dan sebagainya berleluasa di pasaran. Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa
permainan tradisional membawa banyak kebaikan jika permainan ini dipraktikkan
oleh generasi muda hari ini. Permainan tradisional bukan sahaja memberi
hiburan, malah ia memberi manfaat terhadap kecerdasan rohani dan jasmani
sewaktu bermain, terutama di luar rumah. Oleh itu, usaha-usaha tertentu
perlu diambil untuk mempopularkan permainan ini, terutamanya kepada generasi
muda.
Usaha
bagi mengekalkan permainan tradisional adalah peranan sekolah agar mengadakan
kegiatan kokurikulum yang berkaitan permainan tradisional. Contoh permainan
tradisional ialah permainan congkak, mencipta wau sobek atau bermain sepak
raga. Bukan sahaja mengadakan pertandingan, tetapi langkah mewajibkan
permainan ini di sekolah turut mampu memupuk minat dalam jiwa remaja kita.
Tindakan ini bertujuan memastikan semua pelajar di sekolah akan menyertai satu
permainan tradisional sebagai aktiviti kokurikulum mereka. Hal ini
demikian kerana jiwa para pelajar yang ingin mencuba perkara baru akan tertarik
perhatiannya untuk menyertai kegiatan kokurikulum berdasarkan permainan
tradisional ini kerana mereka kurang terdedah dengan permainan-permainan
tersebut. Dengan ini, generasi muda terutamanya pelajar sekolah dapat mengenal
permainan tradisional dan boleh mengetahui cara-cara bermain permainan ini.
Oleh itu, tindakan mengadakan kegiatan kokurikulum berdasarkan permainan
tradisional di sekolah berupaya mengekalkan kewujudan permainan ini pada saat
masa yang panjang.
Selain
itu, usaha yang dapat dilakukan adalah peranan pihak Kementerian Kesenian,
Kebudayaan, dan Warisan agar mengadakan pesta permainan tradisional di
peringkat negeri atau kebangsaan serta memberi sijil penghargaan kepada sesiapa
yang menyertainya. Hal ini dapat menarik perhatian para pelajar sekolah untuk
menyertai pesta tersebut dengan ganjaran sijil penghargaan yang sedikit
sebanyak dapat membantu mereka dalam melanjutkan pelajaran. Langkah ini
berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru yang pada masa yang sama
menggalakkan remaja meminati permainan ini. Dengan memperluas permainan
tradisional hingga ke peringkat angtarabangsa seperti permainan wau dan
permainan sepak raga juga membantu dalam mengekalkan kewujudan permainan
tradisional. Usaha memperkenalkan kepada para pelancong melalui program
pelancongan “tak kenal maka tak cinta” dapat menjadikan permainan tradisional
berada dalam taraf angtarabangsa. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan pihak
Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan amat penting dalam mengekalkan
kewujudan permainan tradisional.
Di
samping itu, kerajaan juga perlu membina lebih banyak kemudahan untuk
permainan tradisional. Pembinaan kawasan padang dan gelanggang khas membolehkan
lebih banyak rakyat negara ini turut melibatkan diri dalam permainan
tradisional yang memberi banyak kesan positif kepada rakyat Malaysia seperti
manyatupadukan dan mengeratkan silaturahim sesama masyarakat. Suasana yang
meriah sebegini pasti memberikan impak positif kepada masyarakat. Mereka
melihat permainan ini sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan harian
mereka.. Sesungguhnya, lebih banyak kawasan khas permainan ini disediakan
semakin bertambahlah minat masyarakat kita untuk bermain permainan tradisional.
Malah, satu kempen yang terancang tentang permainan ini perlu diadakan oleh
pihak berkuasa. Dalam kempen itu dipamerkan kepentingan permainan tradisional
dibekalkan bersama-sama dengan sejarah permainan, tokoh dan sebagainya. Semua
informasi ini memberikan satu pengetahuan baru kepada masyarakat yang mungkin
boleh menimbulkan minat dan penghargaan mereka terhadap permainan tradisional.
Akhir
sekali, berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh
memajukan permainan tradisional dengan turut menyediakan jurulatih yang
terlatih dan mahir di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Dengan
adanya jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang
betul tentang sesuatu permainan tradisional itu dan berupaya
mengajarkan pengetahuan mereka itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini
memastikan berlakunya kesinambungan dalam memainkan permainan tradisional yang
semakin dilupakan kerana tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan
tersebut. Jelaslah, permainan tradisonal ini akan terus dimainkan jika ada
jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita. Peranan media massa
dalam menyiarkan program yang memaparkan permainan tradisional dan sukaneka
berteraskan permainan tradisional seperti program ‘telematch’ yang disiarkan
oleh media massa Eropah juga menjadi satu langkah efektif untuk menjadikan
permainan tradisional mendapat tempat di hati rakyat Malaysia terutamanya
generasi muda.
Kesimpulannya,
dalam usaha untuk mengekalkan permainan tradisional, pihak yang berkenaan
haruslah mengambil langkah yang sesuai untuk memperkembangkan dan memajukannya.
Hal ini demikian kerana permainan tradisional membawa banyak kebaikan kepada
masyarakat dan negara. Dalam bidang pelancongan misalnya permainan tradisional
dapat dijadikan daya tarikan pelancong. Khazanah permainan tradisional,
sekiranya tidak dikekalkan akan melenyapkan identiti bangsa.
No comments:
Post a Comment