PERANAN PIBG MEMBANTU MENINGKATKAN KECEMERLANGAN
AKADEMIK, SAHSIAH DAN KOKURIKULUM MURID-MURID DI SEKOLAH.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan elemen penting dalam
sesebuah institusi pendidikan. Hubungan yang erat antara ibu bapa dan guru
berupaya meningkatkan kecemerlangan murid dalam bidang akademik, sahsiah dan
kokurikulum. Sering kali kita lihat di dada-dada akhbar bahkan sudah lali
di telinga tentang isu ibu bapa menyerang guru dipolemikkan dan menjadi tajuk
utama dalam akhbar harian. Pihak sekolah pula mempertikaikan tindakan
ibu bapa yang menuduh pihak sekolah tanpa usul periksa terlebih dahulu punca
anak mereka didenda ataupun dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak sekolah.
Fenomena ini tidak seharusnya terjadi jika wujudnya persefahaman
dan kejelekitan hubungan antara PIBG dengan pihak sekolah. Persoalannya kini,
apakah prakarsa atau kerjasama yang dapat dijalinkan bagi mencapai kata sepakat
sejajar dengan mutiara kata, Bersekutu membawa mutu? Oleh itu, segala
elemen penting untuk meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan
kokurikulum murid akan dikupas dengan lebih terperinci lagi untuk kepentingan
semua pihak.
Sebagai lanjutan huraian di atas, perkara dominan yang harus
dititikberatkan ialah kerjasama ibu bapa dan guru dalam bidang akademik.
Sebagai contohnya, guru boleh memaklumkan tahap progresif akademik murid
kepada ibu bapa mereka pada setiap akhir peperiksaan. Apabila ibu bapa
sudah tahu tahap pencapaian akademik anak-anak mereka, melalui
perbincangan dalam mesyuarat PIBG, pelbagai insiatif boleh diambil bagi
menangani masalah pencapaian akademik anak-anak mereka. PIBG boleh
memberikan saranan bagi menambahbaikkan program kecemerlangan yang telah
dirancang oleh pihak sekolah. Melalui perbincangan profesionalisme
inilah akan lahirnya pelbagai program kecemerlangan seperti Program
Menuju Puncak, Program Jejak Gemilang dengan menjemput penceramah yang
mahir dan berpengalaman dalam mata-mata pelajaran tertentu. Keprihatinan
dan kebertanggungjawaban inilah akan dapat melonjakkan GPS sekolah seterusnya
kegemilangan dalam pencapaian akademik akan terserlah. Seterusnya, masa
depan negara yang bakal diterajui oleh belia-belia negara sudah pasti bukan
lagi menjadi impian semata-mata. Jelaslah bahawa peranan PIBG dalam membantu
meningkatkan kecemerlangan akademik murid tidak perlu lagi dipertikaikan
terutamanya sumbangan dalam bentuk saranan idea yang bernas mahupun dana
kewangan.
Lontaran idea yang seterusnya, kepentingan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru dalam mendidik sahsiah anak nusa bangsa. Pada realitinya, guru
merupakan mata dan telinga ibu bapa di sekolah. Hal ini kerana rata-rata
murid menghabiskan satu per tiga masanya di sekolah termasuklah kelas
tambahan, aktiviti sukan dan sebagainya. Biar kita ambil contoh
yang paling dekat dengan kita, murid yang bermasalah dari segi sahsiahnya
lazimnya akan dipanggil oleh guru disiplin. Obligasi guru pula adalah dengan
memaklumkan tingkah laku anak mereka di sekolah. Melalui Mesyuarat Agung
PIBG, segala permasalahan disiplin murid yang menjadi agenda perbincangan turut
dibahaskan dengan pelbagai usul dikemukakan oleh ibu bapa. Pada masa yang
sama, PIBG tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab membentuk keperibadian
yang syumul anak-anak mereka kepada pihak sekolah sahaja. Sebagai
contohnya, pada Hari Terbuka ibu bapa seharusnya mengambil peluang keemasan ini
untuk bertemu dan berbincang dengan guru bagi mengetahui perkembangan semasa
anak mereka di sekolah lebih-lebih lagi tentang masalah disiplin anak mereka.
Persis mutiara kata yang mengatakan bahawa kalau tiada angin masakan
pokok bergoyang. Peribahasa tersebut menjelaskan bahawa setiap perbuatan
itu ada sebab dan musababnya. Ibu bapa seharusnya mendidik anak mereka
sejak usia mereka setahun jagung, darah setampuk pinang lagi. Hal ini
bertepatan dengan peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Izharlah
bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru memainkan peranan yang penting dalam
meningkatkan kecemerlangan sahsiah murid.
Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam memantapkan kokurikulum
tidak seharusnya dipandang sebelah mata. Kegiatan kokurikulum merupakan
aktiviti di luar bilik darjah yang amat digalakkan untuk penyertaan semua
pelajar. Selain menyahut seruan kerajaan 1Murid 1Sukan, kegiatan
kokurikulum juga akan mencergaskan fizikal dan mencerdaskan minda murid-murid
di sekolah. Sebagai analoginya, PIBG boleh memberikan komitmen yang padu dalam
penganjuran Hari Sukan Tahunan dengan menjemput semua ibu bapa hadir untuk
memberikan sokongan dan memeriahkan Hari Kejohanan Sukan tersebut.
Galakan yang diberikan secara tidak langsung akan meningkatkan semangat
kesukanan murid. Hal ini demikian kerana dengan adanya ibu bapa tersayang
memberikan semangat, pelajar akan terdorong dan lebih teruja untuk memenangi
sesuatu acara sukan tersebut. Guru-guru pula dapat berkenalan dengan ibu
bapa pelajar sekali gus membincangkan potensi-potensi yang dapat dicungkil
daripada anak mereka. Rentetan daripada itu, bidang kokurikulum dapat
ditingkatkan ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Seharusnya kita lebih mengerti pengaruh PIBG dalam menjayakan aktiviti
kokurikulum ini melalui komitmen, sokongan padu dan galakan ibu bapa terhadap
penyertaan anak-anak mereka dalam kegiatan kokurikulum ini. Tambahan
pula, pencapaian kokurikulum turut diambil kira dalam prasyarat kemasukan ke
IPTA. Jadi, ibu bapa dan gurulah yang perlu mencorakkan hala tuju mereka
ke arah yang lebih baik. Tuntasnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru amatlah
penting dalam meningkatkan kecemerlangan kokurikulum sekali gus meniupkan
harapan senada dalam memenuhi aspirasi negara seiring dengan slogan ‘Majulah sukan
untuk negara’.
Sudah terang lagikan bersuluh, Persatuan Ibu Bapa dan Guru berupaya
membantu dalam meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum.
Usahlah kita memandang enteng dengan potensi yang ada dalam wira bangsa
anak-anak kita dengan mengagung-agungkan masyarakat luar umpama anak di
pangkuan diletakkan, kera di hutan disusui. Oleh hal yang demikian, pihak
Persatuan Ibu Bapa dan Guru wajarlah mengambil langkah dan prakarsa yang
konkrit, sistematik dan pragmatik bak peribahasa sediakan payung sebelum hujan,
sebelum nasi menjadi bubur. Sesungguhnya dengan berkat semua pihak yang
saling berganding bahu bagai aur dengan tebing, bergerak seia sekata,
kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum dapat direalisasikan demi
menyahut Wawasan 2020 yang bakal menjelang tiba sekali gus melahirkan rakyat
yang sihat sejahtera serta berketerampilan dalam segala bidang.
No comments:
Post a Comment