PERANAN
SAYA DALAM MEMANFAATKAN FAEDAH LAMAN SOSIAL.
Pada era perindustrian yang serba mencabar akal dan minda kita, isu berkaitan laman sosial sering dipolemikkan di warung-warung kopi mahupun di parlimen. Laman sosial menjadi wahana penting dalam kehidupan seharian mereka memandangkan masyarakat yang tua mahupun yang muda tertarik dengan laman sesawang ini. Perumpamaan hubungan manusia dengan laman sosial bagaikan lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan. Begitulah sebahagian lirik lagu yang pernah dipopularkan oleh P. Ramlee suatu ketika dahulu. Tambahan pula, dalam dunia yang dilingkari sains dan teknologi, laman sosial makin menjadi kegilaan masyarakat kini terutamanya remaja sehingga sanggup menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer semata-mata untuk melayari laman sosial. Antara laman sosial yang sering menjadi pilihan pengguna di internet ialah ’Facebook’ , ’Wechat’ , ’Line’ , ’Instagram’ dan sebagainya. Manakala laman sosial ’Facebook’ merupakan laman sosial yang mendapat tempat di hati masyarakat kini. Statistik yang sahih menunjukkan bahawa terdapat 1.5 juta orang yang melayari ’Facebook’ dalam sehari. Oleh hal yang demikian, peranan saya dalam memastikan laman sosial memberikan pelbagai faedah kepada saya yang menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dihuraikan dan dikupaskan secara terperinci demi kebaikan kita bersama.
Sebagai pembuka mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan peranan saya
dalam memastikan laman sosial tersebut memberikan pelbagai faedah kepada saya.
Namun begitu, apakah yang hendak saya lakukan untuk memastikan saya
memperoleh kebaikan bukannya keburukan semasa melayari laman sosial?
Dalam meninjau ranjau dunia yang serba rencam ini, pelbagai jenayah
sosial telah meningkat dari hari ke hari akibat ketiadaan kawalan di laman
sosial di samping dek iman yang tidak mantap. Oleh hal yang demikian, saya memanfaatkan
laman sosial ini dengan mencari bahan-bahan bacaan yang saya perlukan sahaja.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa laman sosial merupakan sumber hebahan yang
terkini dan tercepat. Melalui laman sosial, saya dapat mengetahui
perkembangan dari luar negara dan perkembangan isu-isu mutakhir yang menjadi
tajuk utama akhbar harian di negara kita, Malaysia. Tidaklah saya menjadi
seperti katak di bawah tempurung. Laman sosial merupakan wadah yang terpenting
untuk mendedahkan kita dengan isu-isu semasa termasuklah isu politik, sosial
dan ekonomi. Sebagai pelajar yang dahaga akan ilmu pengetahuan dan pelajar yang
bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya dapat menambah ilmu
pengetahuan saya melalui penggunaan laman sosial. Sebagai analoginya, saya dapat
mengakses sumber bacaan daripada laman sosial. Selain itu, saya tidak perlu ke
perpustakaan untuk mencari maklumat. Bahan bacaan di laman sosial merangkumi
ilmu pengetahuan yang tidak dapat dicari di dalam sillibus sekolah. Oleh hal
yang demikian, laman sosial merupakan saluran utama saya memperoleh ilmu
pengetahuan di luar bilik darjah dalam menjalani kehidupan saya sebagai seorang
yang dahagakan ilmu pengetahuan.
Pada realitinya, laman sosial merupakan platform penting dalam kehidupan
seharian kita memandangkan laman sosial memberikan kesan yang mendalam dan
mempengaruhi corak kehidupan kita. Melalui laman sosial, saya dapat
berkenalan dengan kawan-kawan di alam mayatanpa dibatasi oleh
sempadan negara, agama, dan bangsa. Saya dapat memahami dan mengetahui
budaya masyarakat luar dengan hanya satu klik sahaja. Rentetan daripada situasi
tersebut, semangat perpaduan dan semangat cinta akan negara dapat
disuntik dalam diri saya. Persefahaman antara kaum juga dapat dipupuk dalam
diri kita. Melalui penggunaan laman sosial, saya dapat bertukar-tukar
pendapat dan berkongsi pengalaman saya dengan rakan tersebut. Contoh yang
paling dekat ialah saya dapat memuatkan foto-foto apabila menghadiri
sesuatu majlis yang melibatkan pelbagai kaum. Dengan ini, rakan saya dapat
memahami budaya di negara saya. Adat istiadat dan pantang larang ini
masih diamalkan oleh semua lapisan masyarakat seperti orang Melayu, Cina dan
India, bak mutiara kata tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Bagi mereka,
biar mati anak, jangan mati adat. Orang Melayu terkenal dengan baju
kurung, manakala orang Cina dan orang India termashyur dengan Ceongsam dan
Sari. Namun begitu, kita hendaklah berhati-hati semasa berkenalan. Hal ini
demikian kerana kita mungkin akan tertipu oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab untuk memaklumkan butir-butir peribadi sendiri dan kata
laluan. Sebagai contoh, saya tidak bersua muka dengan kenalan di alam maya
untuk menjaga keselamatan sendiri. Terdapat segelintir masyarakat terutamanya
remaja perempuan berjanji dengan kenalan di internet untuk berjumpa di sesuatu
tempat. Hal ini memberikan peluang keemasan kepada penjenayah untuk melakukan
gejala sosial seperti rogol.
Semakin menjelang ambang 2020, titik permulaan ini menandakan permulaan
untuk kesusahan dan cabaran yang bakal menghambat kehidupan manusia. Semua
lapisan masyarakat terutama golongan remaja tidak mahu ketinggalan dalam
mengikuti kemajuan sains dan teknologi yang terkini. Namun begitu, kita
seharusnya memanfaatkan laman sosial. Bertitik tolak daripada itu, saya perlu
menjadi model dengan memanfaatkan laman sosial. Laman sosial
merupakan medan dan ruang untuk saya berhubung dengan rakan sekelas dan
saudara mara agar hubungan silaturahim dapat dieratkan bagai isi dengan
kuku. Laman sosial membolehkan saya dan rakan sekelas mahupun saudara mara
menjalinkan hubungan semula yang telah terputus. Saya dapat mengetahui
perkembangan terbaru tentang kawan saya melalui laman sosial. Saya dapat
mengimbas kembali peristiwa pahit, manis, masin dan tawar yang pernah saya
lalui bersama dengan rakan saya dan saudara mara. Sebagai contoh, saya boleh
menggunakan ’skype’ untuk berhubung dengan saudara mara yang tinggal berjauhan.
Seterusnya, saya dapat bertanya khabar dan bersembang dengan mereka. Namun, di
sebalik keghairahan mengaplikasikan kelebihan yang ada pada ruang maya ini,
laman sosial juga mengandungi budaya kuning dari barat yang bertentangan dengan
nilai-nilai ketimuran budaya masyarakat kita. Oleh hal yang demikian, saya akan
memastikan diri agar tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di laman
sosial dengan berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan budaya timur yang
disanjung tinggi ini. Bahan-bahan tersebut boleh diakseskan oleh sesiapa sahaja
tanpa sebarang halangan jika tiada iman di dada. Jika perkara ini dibiarkan,
gejala sosial seperti gengterisme dan hedonisme akan menular dalam pemikiran
remaja. Perkara inilah yang akan saya cuba elak sejauh-jauhnya.
Sebagai konklusi bagi segala yang
telah diperkatakan di atas, kita seharusnya memanfaatkan penggunaan laman
sosial agar tidak terpengaruh oleh unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan
agama dan budaya timur masyarakat Malaysia. Oleh itu, kita perlulah
bertindak secara rasional dan matang tanpa mudah mengikut rentak kemajuan ICT
yang begitu kuat mengoda jiwa insani yang leka. Kita seharusnya
menyeimbangkan masa dalam melayari laman sosial supaya tidak mudah alpa dengan
keasyikan yang ada pada laman sosial. Kita seharusnya pandai menguruskan masa
dan tidak terpedaya dengan kata-kata manis kenalan baru supaya tidak mudah
dieksplotasikan untuk kepentingan diri mereka. Laman sosial akan terus menjadi
populariti masyarakat kini. Kita tidak boleh mengekang kemajuan ICT yang kian
menular di seluruh dunia, tetapi dengan menggunakan minda yang dianugerahi
Tuhan ini, kita mampu melakukan anjakan paradigma untuk memastikan
kebaikan sentiasa menyebelahi kita. Lantaran itu, amalan penggunaan laman
sosial ke arah kebaikan perlu disuntikkan dalam sanubari setiap rakyat di
Malaysia. Marilah kita bekerjasama memanfaatkan laman sosial ini, umpama aur
dengan tebing dan ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni
demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 dalam melahirkan masyarakat yang
peka dan celik ICT.
Terima kasih sebab share ilmu yang bermanfaat ni😊😊
ReplyDelete