MANFAAT
DASAR 1 MURID 1 SUKAN
Dasar 1 Murid
1 Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti
sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan dasar ini, setiap murid akan
melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang
tahun. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan
dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui
dua strategi iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti
sukan di bawah Sukan untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan,
sahsiah dan kesejahteraan semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi
murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program
Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang
mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap
murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi
1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras
dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1
Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan
dibincangkan demi kepentingan bersama.
Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang
menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju
dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang
bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan
secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai
murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk
membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid
berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib
mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S
diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan,
Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun
murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini
berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan mahu
membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui
sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui
dasar ini.
Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat
memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli
masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan sihat otak
cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan
memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan
demikian kerana kerajaan sedar semakin banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan
sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya,
bilangan rakyat Malaysia yang menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin
meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya
tidak aktif dan menghidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka.
Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak
mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam
di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan
memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas
dan cerdas sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat
dipupuk melalui dasar ini.
Jika kita singkap
dari perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk memupuk
perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan
merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa.
Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini
kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama
55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan
kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan
harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama
dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan.
Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna
kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul
sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami
budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1
Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seperkara lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara
keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan
akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan
khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini
lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan
dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah
membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis dari kamus
kehidupan mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa untuk melakukan
kecergasan fizikal seperti bermain bola sepak, berenang, menyertai acara
balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka. Kata orang, otak yang sihat datang
dari badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang sihat, murid-murid dapat
fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea yang bernas dan mampu
berfikir secara kreatif dan kritis. Secara implisitnya, murid akan beroleh
kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek kata, murid dapat mencapai
keseimbangan antara kejayaan akademik dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1
Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini.
Pada masa
yang sama, Dasar 1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke
arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang
berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh
menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan
oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak
sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli
sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja
serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu
menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan
imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara
kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam
bidang sukan seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan
arena sukan negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara
yang digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini.
Bulan
semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak
membawa kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua
pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua
aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1
Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1
Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan
akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar
melepaskan batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga
penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan
berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang
cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan
bukannya angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah
pepohon terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing
di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.
No comments:
Post a Comment