CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG
Berderap seiring berjalan
pulang,
Mawar disisip hiasan si dara,
Remaja kini berperibadi
cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi
negara.
Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat
memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang
mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk
pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil
inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa,kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar
yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam
kehidupan seharian mereka.
Ciri
utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai
sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai
peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak
kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh,
pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka
juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan
dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup
seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati
dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan
prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi
Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh
orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap
seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar
cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.
Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap
agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama
Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa
menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling
ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang
cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan
dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mempunyai
nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai
contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan
tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa
berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi
pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat
sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani,
intelek dan sosial (JERIS).
Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa
masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka
sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang
berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka
juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang
mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual
aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan
masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa
berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya
mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui
pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya
menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa
menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga
tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam
proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa
pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam
kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.
Di
samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa
memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini demikian
kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium
pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai
subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi
sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang
dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut
kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia
akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja
menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu
pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi,
sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan
disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar
seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan
dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang.
Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan
tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.
Bukan
itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal
ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat
mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang
cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar
mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan
lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti
seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang
kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang
bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar
yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak
mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui
kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan
menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk
berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu
menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar
cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata
peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal
lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang
kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian,
jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.
Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap
pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal
ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan
kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai
kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam
sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan
seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja
dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka
kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para
pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti
potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Contohnya,
pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda
serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh
hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti
kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.
Intihnya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar
bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang
cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan
seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana,
pelajar yang cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui
tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang
cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur
buluh biarlah dari rebungnya.